Atas sebab itu, saya lebih suka menolak secara berprinsip, iaitu dengan menggariskan prinsip-prinsip asas yang applicable, terpakai untuk semua jenis bahan – tidak kiralah berasal dari pihak konspirasi teoris, pihak syiah, pihak freemason, pihak barat, mahupun pihak Islam sekalipun. Prinsip asasnya mudah – bagi perkara berkaitan agama, rujuklah sumber berkaitan agama iaitu alQuran dan Sunnah. Bagi perkara berkaitan sains, rujuklah sumber yang sahih berkaitan sains. Saya banyak mengulas mengenainya dalam artikel-artikel sebelum ini, seperti
- Mengembalikan Kefahaman Mengenai Dajjal Kepada AlQuran dan Sunnah
- Kiamat dan Sains
- Berdakwahlah Dengan Perspektif Yang Betul
- Monolog I
- Menangkis Tohmahan Anti-Evolutionist
- Konspirasi H1N1 – Sikap Kita
- dan lain lain..
Namun tiba-tiba tersebarnya meluas sebuah video dari laman blog salafus-sholih agak mengejutkan saya, sebenarnya.
Justeru itu saya mengambil kesempatan menulis artikel khusus mengenainya.
Pertamanya, blog tersebut saya telahpun kenal sebelum ini melalui video-video lain yang pernah dikeluarkannya, dan ada sesetengah video tersebut saya sendiri menyokong mempromosinya.Justeru, saya amatlah terkejut apabila video terbaru mereka mempunyai penyelewengan yang begitu sarat sekali, dari sisi Islam mahupun sains/sejarah.
Keduanya, nama blog tersebut (salafus-sholih) adalah agak bercanggahan dengan video terbaru mereka. Mengikut pemerhatian saya, kebiasaannya pihak yang bermanhaj (beraliran) salaf ini kurang gemar memfokus mengenai isu-isu kontemporari berkaitan akidah. Mereka menolak unsur-unsur pencemaran ke atas akidah Islam, dengan mengikuti pegangan akidah sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah dan para sahabat kurun awal Islam (salaf). Mereka juga kurang gemar melakukan penafsiran secara sewenang-wenangnya ke atas ayat-ayat alQuran dan hadis-hadis Nabi, serta lebih selesa berpegang kepada tafsiran ulama’ terdahulu. Kerana itulah saya agak terkejut, kerana berselindung di sebalik nama “salafus soleh”, blog ini tiba-tiba mempromosi penyelewengan akidah kontemporari (kisah-kisah konspirasi), serta menafsirkan sesetengah ayat alquran mengikut hawa sendiri. Bagi saya, ini sama sekali tidak berpendirian salafus soleh, malah menjadi fitnah ke atas nama salafus soleh itu sendiri.
Dalam artikel saya ini, kalau nak diikutkan boleh menjadi artikel yang sangat panjang. Namun cukuplah saya kupas 2 aspek terawal mengenainya agar lebih ringkas. Ringkas-ringkas pun, artikel ini tetap panjang juga.
Tafsiran Ayat 30-34 Surah Al-Baqarah
Video tersebut, dimulakan dengan petikan ayat dari surah al-baqarah ayat 30 dan 31. Seawal ini lagi, saya sudah agak curiga dengan video ini, kerana tafsiran yang dibawakan oleh video ini amatlah janggal sekali. Berikut terjemahan penuh ayat tersebut, saya cerakinkan untuk memudahkan kita nampak terjemahannya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.
Mereka bertanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?.
Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Ketika ini, video tersebut melontarkan satu persoalan – “Apakah perkara yang dimaksudkan oleh Allah yang tidak diketahui para malaikat?”
Dan seterusnya disambung dengan penceritaan (bukan ayat sebenar alQuran) bahawasanya Allah mengajar kepada Nabi Adam mengenai “nama-nama”, dengan frasa “nama-nama” yang dimerahkan. Video tersebut seterusnya menceritakan bahawa setelah itu, semua malaikat sujud tanda penghormatan, kecuali iblis kerana “dia sombong dan merasakan bahawa manusia tetap akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah walaupun sudah diajarkan mengenai “nama-nama” oleh Tuhannya”, dan bahagian ini diulang kembali dengan sintaks (susunan ayat) berbeza untuk menegaskan.
Bahagian tersebut berakhir dengan video tersebut menafsirkan “nama-nama” itu sebagai “penyelesaian kepada setiap kerosakan dan pertumpahan darah”.
Mari kita kupas satu persatu mengenai tafsiran ini. Untuk kupasan saya ini, saya tidak akan mengupas mengikut akal dan nafsu saya sendiri, sebaliknya saya merujuk kepada tafsiran oleh ahli tafsir islam terkenal, Ibnu Kathir. Ibnu Kathir merupakan ahli tafsir (mufassir), ahli hadis (muhaddis) dan ahli sejarah Islam yang terkenal, bermazhab Syafii (sunnah, bukan syiah). Kitabnya, “Tafsir Ibnu Kathir” merupakan antara kitab tafsir terkenal yang sering digunakan dalam menafsirkan ayat-ayat alQuran.
Pertama, adalah rentetan peristiwa yang membawa kepada Allah berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Dalam menafsirkan bahagian ayat ini, Ibnu Kathir berkata,
“It was said that the meaning of Allah’s statement,
(I know that which you do not know.) is, “I have a specific wisdom in creating them, which you do not have knowledge of.” It was also said that it is in answer to,”
Mari kita lihat bahagian ayat sebelumnya. Allah menyatakan hasrat untuk menciptakan seorang khalifah di muka bumi. Perkataan “khalifah” banyak ditafsirkan, namun saya tidak berhasrat nak membawa tafsirannya disini kerana terlalu panjang. Selepas itu, para malaikat bertanya kepada Allah, kenapa hendak dijadikan sesuatu yang akan membawa kerosakan di muka bumi, sedangkan mereka sentiasa bertasbih dan memuji Allah?
Persoalan yang dilontarkan oleh malaikat inilah, yang dijawab oleh Allah bahawasanya Allah tahu akan hikmah/kenapa Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi (meskipun manusia akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah).
Dan ayat ini sebenarnya tidak ada kaitan pun dengan ayat seterusnya. Ibnu Kathir menafsirkan, ayat malaikat “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” tersebut sebenarnya merupakan satu permohonan dari malaikat, agar malaikat yang dihantar ke muka bumi kerana mereka lebih bertasbih dan tidak akan membuat bencana di muka bumi. Ini hanyalah satu pernyataan (statement) yang menjelaskan, bukannya atas nada riak, justeru tidak timbul isu malaikat bersifat riak. Begitu juga, persoalan yang dilontarkan adalah semata-mata untuk mendapatkan jawapan dari Allah, bukannya persoalan bertujuan mempersoalkan atau mempertikaikan perbuatan Allah. Justeru tidak timbul isu malaikat itu ingkar.
Ayat seterusnya, lagi menyeleweng penafsiran oleh video tersebut, iaitu berkenaan “nama-nama”. Menurut video tersebut, “nama-nama” inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat sebelumnya. Sungguh janggal sekali. Malah menurut video ini juga, mengatakan “nama-nama” ini menjadi sebab iblis enggan sujud. Dan dikatakan pula, “nama-nama” ini adalah “penyelesaian kepada setiap kerosakan dan pertumpahan darah”?
Pertama sekali – tujuan Allah mengajar “nama-nama” kepada Adam. Peristiwa ini berlaku selepas persoalan para malaikat sebentar tadi, maka Allah ingin menunjukkan perbezaan antara Adam dan para malaikat. Malahan, sebenarnya peristiwa Allah mengajarkan nama-nama kepada Adam ini berlaku SELEPAS peristiwa malaikat sujud kepada Adam. Bukannya sebelum, sepertimana yang diceritakan dalam video tersebut. Berikut penjelasan Ibnu Kathir,
Allah stated the virtue of Adam above the angels, because He taught Adam, rather than them, the names of everything. This occurred after they prostrated to him. This discussion precedes that event here, only to show the importance of his position, and the absence of the angels’ knowledge about creating the Khalifah when they asked about it. So Allah informed the angels that He knows what they do not know, and then He mentioned this to show them Adam’s superiority over them in knowledge.
Seterusnya, apakah “nama-nama” tersebut? Ibnu Kathir membawakan riwayat yang panjang lebar mengenai proses “mengajar nama-nama kepada Nabi Adam” ini. Berikut saya bawakan riwayat-riwayat tersebut:
Ad-Dahhak said that Ibn `Abbas commented on the Ayah;
(And He taught Adam all the names (of everything)) “Meaning, the names that people use, such as human, animal, sky, earth, land, sea, horse, donkey, and so forth, including the names of the other species.”
Ibn Abi Hatim and Ibn Jarir reported that `Asim bin Kulayb narrated from Sa`id bin Ma`bad that Ibn `Abbas was questioned,
(And He taught Adam all the names (of everything)) “Did Allah teach him the names of the plate and the pot” He said, “Yes, and even the terms for breaking wind!”
Allah taught Adam the names of everything, their proper names, the names of their characteristics, and what they do, just as Ibn `Abbas stated about the terms for passing gas.
Boleh jelas? Nabi Adam diajar mengenai nama-nama benda yang terdapat di bumi, yang digunakan di bumi. Hatta KENTUT sekalipun (breaking wind, passing gas) diajar. Ini bukan saya yang sebut, tapi Ibnu Kathir yang meriwayatkan daripada para sahabat termasuklah Ibnu Abbas. Ibnu Abbas adalah sahabat nabi yang paling handal dalam ilmu tafsir, kerana beliau didoakan sendiri secara khusus oleh Rasulullah.
Adakah KENTUT, pinggan mangkuk, kuda, keldai dan sebagainya ini yang ditafsirkan sebagai “penyelesaian kepada setiap kerosakan dan pertumpahan darah”? Sungguh binasa apabila memandai-mandai menafsirkan ayat alQuran menggunakan akal fikiran sendiri.
Then He showed them to the angels) meaning, the objects or creations. `Abdur-Razzaq narrated that Ma`mar said that Qatadah said, “Allah paraded the objects before the angels,
(And said, “Tell Me the names of these if you are truthful”).”
Allah’s statement means, “Tell Me the names of what I paraded before you, O angels who said,
(Will You place therein those who will make mischief therein and shed blood).
You asked, `Are You appointing a Khalifah from us or from other creations We praise and glorify You.
Therefore, Allah said, “If you say the truth, that if I appoint a non-angel Khalifah on the earth, he and his offspring will disobey Me, commit mischief and shed blood, but if I designate you the Khalifahs you will obey Me, follow My command and honor and glorify Me. However, since you do not know the names of the objects I paraded before you, then you have even less knowledge of what will occur on the earth that does not exist yet.’‘
(They (angels) said: “Glory is to You, we have no knowledge except what you have taught us. Verily, it is You, the Knower, the Wise.”).
Here the angels are praising Allah’s holiness, and perfection above every kind of deficiency, affirming that no creature could ever acquire any part of Allah’s knowledge, except by His permission, nor could anyone know anything except what Allah teaches them. This is why they said,
(“Glory is to You, we have no knowledge except what you have taught us. Verily You are the Knower, the Wise) meaning, Allah is knowledgeable of everything, Most Wise about His creation, and He makes the wisest decisions, and He teaches and deprives whom He wills from knowledge. Verily, Allah’s wisdom and justice in all matters is perfect.
Nah, disini sudah jelas tujuan Allah mewujudkan peristiwa Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda. Ia adalah pembuktian kepada para malaikat, mengenai hikmah kenapa Adam dijadikan sebagai khalifah di bumi, meskipun generasi Adam akan melakukan kerosakan dan kemusnahan.
Bermula dari awal-awal video lagi, sudah jelas tafsiran yang dikemukakan bercanggah dengan tafsiran ulama’ muktabar. Ini adalah teknik biasa para konspirasi teoris, apabila mereka memetik ayat-ayat alQuran, kononnya sebagai bukti apa yang mereka nyatakan itulah kebenaran, namun yang ramai daripada kita orang awam tidak ketahui, petikan ayat-ayat tersebut ditafsir sesuka hati mereka tanpa merujuk kepada kitab dan ulama’ yang terkenal.
Sejarah menipu?
Jika anda rasakan artikel ini sudah panjang, maka ketahuilah ianya akan menjadi lebih panjang lagi. Video ini diteruskan dengan dibawakan hujah kononnya apa yang diajar oleh sejarah itu satu pembohongan.
Dari hujah-hujah dalam video tersebut, banyak “hujah” yang dikemukakan merupakan kekeliruan, tidak berasas dsb yang tidak wajar keluar dari seseorang yang TAHU. Namun tanpa pengetahuan yang mendalam, beliau sudah berani mendakwa itu dan ini, satu sikap yang bercanggahan dengan Islam itu sendiri.
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.” (QS. Al Israa’:36)
Terlebih dahulu saya tegaskan, perkara paling penting dalam pengajian sejarah adalah TIMELINE. Apabila kita nak berbicara mengenai sejarah, maka pastikan kita jelas mengenai TIMELINE terlebih dahulu. Tak kiralah sejarah apa sekalipun – Sejarah kemerdekaan Malaysia, sejarah kewujudan negara haram Israel, sejarah Dinosaur dan sebagainya.
Apabila kita dapat memahami TIMELINE, maka baru kita nampak secara keseluruhan apa yang berlaku sebenarnya. Dan apabila kita memahami TIMELINE barulah kita dapat mengenalpasti pembohongan dan penyelewengan sejarah, sepertimana yang berlaku dalam video ini.
Sebagai contoh pengaplikasian timeline – katakanlah saya membuat kenyataan – “Parameswara mati dimakan dinosaur”. Tanpa perlu penyelidikan yang mendalam, kita boleh menjangkakan yang kenyataan ini satu pembohongan kerana parameswara dan dinosaur itu tidak sezaman!
Pengkajian ilmu hadis dalam Islam juga mementingkan aspek timeline dalam memeriksa kesahihan hadis yang dibawakan oleh setiap periwayat hadis. Adalah tidak logik jika saya katakan “Imam Syafii pernah makan bersama-sama dengan Rasulullah”, kerana Imam Syafii itu lahir pada tahun 767, puluhan/ratusan tahun selepas kewafatan Nabi.
Begitulah juga dengan isu yang dibangkitkan ini. Manusia purba?
Manusia zaman batu, dikenali sebagai Neanderthals. Ia direkodkan muncul sekitar 350 RIBU tahun lalu dan berakhir sekitar 30 RIBU tahun lalu.
Menurut para ulama’ sejarah pula, Nabi Adam dijangkakan berada pada sekitar 6000 tahun yang lalu. Jadi apakah timeline yang ada disini?
Boleh nampak TIMELINE tersebut? Jarak antara kewujudan manusia purba dengan Nabi Adam adalah tersangat lah jauh, 24 ribu tahun sekurang-kurangnya! Jarak antara kita sekarang dengan Nabi Adam pun lebih dekat, iaitu 6 ribu tahun sahaja!
Pendek kata, kalau kita katakan antara Nabi Adam dengan zaman sekarang ini satu generasi kitaran (cycle), agaknya ada berapa generasi boleh dimuatkan sejak kewujudan Neanderthals? 350 Ribu tahun dibahagikan 6 ribu?
Penyelewengan sejarah yang dilakukan oleh video tersebut, adalah menyamakan kononnya Nabi Adam dan Neanderthals itu sama. Padahal kedua-duanya adalah dari zaman yang berbeza sama sekali.
Begitulah juga seperti tamadun-tamadun yang diceritakan di dalam video tersebut. Tamadun Babylon, Egypt, semuanya sekitar 3000 tahun sebelum masihi. Sedikit pun tak sama dengan manusia purba yang wujud selewat-lewatnya 300 RIBU tahun lampau.
Penyelewengan oleh video tersebut, jika ditunjukkan kepada masyarakat awam yang tidak mempunyai ilmu mengenai bidang ini, tentulah akan diterima dengan membuta tuli. Namun bagi mereka yang ahli (ahli arkeologi, pakar sejarah), tentu sekali video ini hanya sekadar lelucon sahaja.
Permasalahan ini timbul, apabila kita terlalu ghairah mengaitkan agama dan sains/sejarah. Sejarah menyatakan, bukti pertama kewujudan hidupan yang berkemahiran menggunakan peralatan adalah Neanderthals. Neanderthals adalah entiti saintifik, diperolehi menerusi kajian dan penemuan.
Sedangkan Nabi Adam itu siapa? Nabi Adam adalah entiti religion, diperolehi melalui wahyu sama ada alQuran dan Sunnah.
Justeru itu, masakan boleh disamakan Nabi Adam = Neanderthals, kerana definisi kedua-duanya berbeza! Apakah definisi Nabi Adam itu?
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)
Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.
Neanderthals (manusia purba) itu, manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya kah? Tentu sekali tidak. Sedangkan Nabi Adam itu, manusia yang diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Kerana itu, Allah menggunakan perkataan “khalifah”. Allah ingin menjadikan “khalifah” di muka bumi. Khalifah, seseorang yang mentadbir urusan bumi dan mempunyai keupayaan untuk menggunakan, memanipulasi dan memanfaatkan sumber-sumber bumi untuk misi yang Allah tetapkan. Adakah Neanderthals (manusia purba) itu mempunyai keupayaan sebagai Khalifah?
Siapakah manusia terawal?
Persoalan ini, tentulah amat delicate sekali. Jika saya menyebut istilah “EVOLUSI”, tentulah artikel ini diharamkan dan saya dikatakan pendokong Evolusi. Namun tahukah anda, 1000 tahun sebelum Charles Darwin mengeluarkan teorinya mengenai evolusi, ulama’-ulama’ Islam telahpun membahas mengenai kewujudan Nabi Adam?
Saya memetik tulisan daripada Ustaz Hasrizal, dibawah artikel Adam-Adam Sebelum Adam:
PANDANGAN ULAMA ISLAM YANG AWAL
Di dalam sejarah Islam, tumpuan kita adalah pada melihat sejauh mana umat melaksanakan peraturan Allah, sebagai mekanisma jatuh dan bangunnya tamadun. Oleh kerana tumpuannya begitu, maka kadang-kadang kita terlepas pandang kepada pandangan para ulama’ terhadap persoalan-persoalan ‘pra-sejarah’ ini.
Sebagaimana teori evolusi mempunyai akar falsafah yang melunjur hingga ke era Ancient Greek dan Roman serta agama, maka ia turut menjadi bahan ulama Islam mencari jawapan kepada persoalan pra-sejarah ini. Namun terasnya adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang telah memiliki pendirian yang tersendiri mengenainya. Walaupun ulama Islam memanfaatkan sumber yang ada di sekitar mereka, tetapi prinsip-prinsip al-Quran tetap menjadi teras utama kepada mereka.
Lihat sahaja buku Akhbar al-Zaman oleh al-Mas’oudi, sebelum memperkatakan tentang Adam dan generasi selepasnya, Al-Mas’oudi meletakkan bab “Penjelasan Tentang Umur Dunia, “Penjelasan Tentang Umat-umat Sebelum Adam”, Penjelasan Tentang “Jin dan Jenis-jenis dan Qabilah Mereka”, “Penjelasan Tentang Bumi Dan Apa Yang Ada Padanya”, “Penjelasan Tentang Laut Yang Meliputi (Al-Bahr al-Muhi?) dan Perkara-perkara Ajaib yang Ada di Dalamnya” dan sebagainya.
Al-Mas’oudi menjelaskan bahawa terdapat 28 umat yang telah dicipta di muka bumi sebelum Adam. Mereka terdiri daripada flora dan fauna serta Ummah yang agak menyerupai Bani Adam. Umat ini bercampur dan berinteraksi hingga membawa kepada berkembangnya mereka kepada 120 umat.
Al-Thabari juga menyatakan di dalam Tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam.
Al-Maqdisi menjelaskan bahawa terdapat 3 Umat yang utama di dunia sebelum Adam iaitu dua daripadanya terdiri daripada kaum Jin. Manakala kaum yang ketiga adalah golongan yang berbeza dari Jin kerana mereka ini berdaging dan berdarah. Golongan ketiga ini adalah mereka yang dimaksudkan sebagai “man yufsidu feehaa wa yasfiku al-dimaa’: golongan yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah” seperti yang diulas oleh Malaikat di dalam ayat al-Quran 2: 30.
Ulasan-ulasan al-Mas’oudi ini memperlihatkan bahawa persoalan tentang hal ehwal pra-sejarah telah pun dibahaskan oleh para Ulama’ jauh sebelum munculnya di Eropah, debat evolusi pada kurun mutakhir ini. Ulama Islam sudah menyentuh bidang ini 10 kurun sebelum ia diperkatakan di Eropah.
Persoalan ini penting di sisi ilmuan Islam, untuk membina dan menstrukturkan World History pada perspektif Islam. Mereka melihat persoalan Tuhan, manusia dan alam, sebagai subjek yang tidak boleh dipisahkan. Di atas prinsip itu, persoalan sejarah tidak sewenang-wenangnya bermula hanya dengan penciptaan Adam, tetapi era Pra-Adam turut diambil kira.
Inilah yang mengagumkan saya. Sekian lama saya terlepas pandang terhadap perhatian yang diberikan oleh Ulama’ seawal kurun ke-10M terhadap isu ini. Keprihatinan mereka menunjukkan bahawa subjek ini berharga untuk diberikan perhatian.
‘ADAM’ SEBELUM ADAM
Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.
Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.
Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.
(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)
Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)
Boleh lihat bagaimana ulama’ Islam mengupas isu ini? Bukan saintis barat, sebaliknya ulama’ Islam yang “berteori”. Jika teori ini muncul dari barat, nescaya kita akan menolaknya bulat-bulat!
Namun harus saya tegaskan, kesimpulan daripada artikel Ustaz Hasrizal tersebut:
ISU LEKEH?
Mungkin isu-isu di atas dipandang remeh oleh sesetengah kita. Ia mungkin dengan mudah dilabel sebagai khurafat, mangsa Israiliyyat, dongengan dan sebagainya. Namun, perlu diingatkan bahawa bukanlah kesahihan fakta itu yang menjadi keutamaan. Saya tegaskan begini kerana sama ada ia dilihat dari tafsiran kepada teks agama, atau pun kepada pencapaian sains itu sendiri, persoalan-persoalan ini masih dibanjiri oleh hipotesis. Malah jangan lupa kepada ingatan Allah bahawa “AKU MENGETAHUI APA YANG TIDAK KAMU KETAHUI”.
Pengetahuan kita ada batas-batasnya.
Namun apa yang menjadi keutamaan kita ialah, persoalan idea berkaitan dengan evolusi biologi, dan adanya idea tentang berkemungkinan wujudnya kehidupan dan ‘adam’ lain sebelum penciptaan Adam, mempunyai ruang untuk ia dikaji oleh Muslim. Ini akan menghindarkan pelajar Sains daripada dibelenggu rasa bersalah yang tidak perlu. Semata-mata kerana menyangkakan bahawa evolusi menyalahi Islam.
Walhal, prinsip-prinsip evolusi sudah pun ada di fikiran ahli sejarah Muslim seawal kurun ke-10M. Jika ia diterima sebagai subjek yang berharga untuk dikaji oleh umat Islam, mengapa pula hari ini kita mengambil pendirian mudah bahawa ruang perbincangan mengenai hal ini sudah terkunci. Evolusi bertentangan dengan Islam, 100%!
Apa yang membimbangkan saya ialah, sikap orang agama terhadap isu-isu seperti ini akan menimbulkan masalah sebagaimana pemuka agama Kristian yang sombong, telah membiakkan manusia sains yang menjauhi agama. Soal agama mereka betul atau salah, tidak sempat untuk dibicarakan kerana sikap sombong dan simplistic minded mereka telah menyebabkan agama tidak lagi dilihat sebagai sumber kebenaran.
Manusia beralih kepada sains kerana muak dengan kelakuan orang agama yang jumud.
Semoga teguran Ustaz Hasrizal tersebut dihayati oleh kita semua.
Lain-Lain
Seterusnya video tersebut diteruskan lagi dengan dongeng dan hikayat yang tidak diketahui asal-usulnya. Kisah-kisah mengenai Freemason, Templar Knight, dsb ini, jika dikekalkan atas landasan TANPA MENGAITKAN DENGAN FAKTA AGAMA, maka bagi saya ianya masih boleh diterima lagi. Namun apabila dikaitkan dengan fakta agama, ianya satu penyelewengan yang besar.
Contohnya seperti dakwaan “tiang obelisk itu tempat syaitan berkumpul”. Saya tertanya-tanya, bagaimana mereka yang mendakwa tersebut tahu perkara sedemikian? Adakah mereka itu dapat melihat syaitan berkumpul di tiang-tiang?
Syaitan, adalah perkara ghaib. Malaikat, adalah perkara ghaib. Kiamat dan tanda-tandanya seperti Dajjal, Imam Mahdi, adalah perkara ghaib.
Perkara-perkara ghaibiyyah, cukuplah kita merujuk hanya kepada alQuran dan Sunnah. Janganlah kita memandai-mandai dengan akal fikiran kita.
Saya percaya, jika ditanya kepada mereka-mereka ini “apa dalil dari alquran/sunnah mengatakan tiang-tiang itu tempat syaitan berkumpul”, nescaya tidak ada jawapannya!
Penulis/pembuat video tersebut mengakhiri artikel di blognya dengan ungkapan ini:
p/s: Segala kandungan di dalam video ini melainkan ayat Al-Quran dan Hadis, boleh jadi benar atau tidak.
Ini adalah ungkapan biasa para konspirasi teoris untuk “lepas tangan” dari tanggungjawab kesahihan dakwaan yang mereka kemukakan. Adakah boleh, baling batu sembunyi tangan sedemikian? Allah memberi amaran mengenai perlakuan sedemikian, dalam AlQuran:
Janganlah kalian mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kalian menyembunyikan kebenaran itu, sementara kalian mengetahuinya (QS al-Baqarah [2]: 42)
Adh-Dhahak memaknai ayat itu dengan menyatakan, “Janganlah kamu mencampurkan haq dengan batil, kebenaran dengan kedustaan.”
Abu al-Aliyah menyatakan, “Janganlah kamu mencampurkan haq dengan batil dan
sampaikanlah peringatan/nasihat kepada para hamba Allah, umat Muhammad saw. Janganlah kalian mencampuradukkan antara Yahudi dan Nasrani dengan Islam, padahal kalian mengetahui bahwa agama Allah itu adalah Islam, sedangkan Yahudi dan Nasrani adalah buatan manusia, bukan dari Allah.” (Ibn Katsir, Tafsîr Ibnu Katsîr, Jilid I).
Selalu saya sebutkan, kebenaran itu jelas dan dusta itu jelas. Namun penipuan yang paling berkesan, adalah mencampurkan keduanya. Dengan mencampurkan keduanya, seseorang itu tidak lagi mampu membezakan keduanya. Nak kata tipu, ada juga betulnya. Nak kata betul, macam tak logik pula? Dan itulah teknik yang sering digunakan para konspirasi teoris. Mereka menyelitkan hadis-hadis, petikan-petikan ayat alQuran sebagai “kebenaran” dalam penulisan mereka.
Bagaimana nak membezakan antara haq dan batil? Bagaimana nak membezakan kaca dan permata? Perlulah kepada kajian yang terperinci, dan ilmu yang mendalam. Namun tanyalah diri kita sendiri – berapa ramai daripada kita yang ingin mengkaji setiap dakwaan yang dikemukakan? Isu evolusi, arkeologi, dsb – berapa ramai daripada kita yang mempunyai ilmu mengenainya?
Saya petik kembali amaran oleh Allah s.w.t yang saya bawakan di atas,
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.” (QS. Al Israa’:36)
Sudah bersediakah kita untuk dipertanggungjawabkan dengan apa juga yang kita turuti? Video yang kita tonton dan dengar tersebut, hati kita yang mempercayai video tersebut – bolehkah kita dipertanggungjawabkan mengenai sesudah kita mempercayainya?
Manakala kepada para pendokong teori konspirasi juga, saya sarankan untuk membaca penulisan saya yang ini:
Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w, maksudnya:
“Dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”. (Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Pandulah umat Islam kembali kepada penghayatan AlQuran dan Sunnah. Ajaklah kami untuk kembali mempercayai alQuran dan Sunnah, bukannya mempercayai Freemason atau Illuminati dan segala bagai anasir yang entah dari mana datangnya ini. Bahawasanya sesungguhnya cukuplah alQuran itu sebagai huda lil muttaqin, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.
Kepada para pembaca lain, dipersilakan merujuk artikel-artikel saya yang lain, dibahagian “Entri Lain Berkaitan” dibawah.
Wallahua’lam, wassalam.
[UPDATE TERKINI] Tambahan
Alhamdulillah, saya ada terbaca respons pembuat video tersebut, akhi the-brofat di blog salafusshalih. Beliau telahpun membaca respons saya, justeru itu saya telah melakukan perubahan keatas artikel ini dengan tidak lagi ditujukan kepada beliau secara spesifik.
Disini, saya bawakan respons beliau. Ada bahagian-bahagian yang saya bold dan underline kan, sebagai nasihat dan pengajaran buat kita semua. Ayuh sama-sama kita hayati dan ambil pengajaran dari luahan beliau:
the-broFat on October 4, 2010 12:13 PM said…
salam.
utk makluman, saya adalah orang yang bertangungjawab untuk membuat tayangan multimedia ni.
Jadi bagi menjawab beberapa persoalan saudara-saudari sekalian.
Pertama sekali, sebagaimana yang anda semua tahu, saya telah pun menutup blog saya. Itu adalah ahrga yang paling mahal yang terpaksa saya bayar di atas beberapa kesilapan fakta saya, itupun jika ada di antara saudara-saudari yang memahami maksud posting terakhir dalam blog saya sekarang, brofat.blogspot.com.
Bagi menjawab persoalan syiah, saya tidak mengutuk syiah pun dalam video tu. Saya hanya menunjukkan pemimpin Iran yang bersalaman dengan Bush. Saya juga menunjukkan gambar Najib bersalaman dengan Bush. Najib seorang ahli sunnah, adakah saya mengutuk semua ahli sunnah? Dalam video itu saya tidak kutuk syiah ataupun sunnah. Saya hanya menyebutkan beberapa peribadi daripada syiah dan sunnah, bukan keseluruhannya. (saya hairan bagaimana pemimpin umat islam masih boleh berbaik dengan kafir harbi)
Berkenaan watak hitler pula, bagi saya hitler bukanlah seorang yang baik. tak kisahlah, dia ada benarkan tentera dia beragama islam untuk solat atau bergambar dengan ulama islam, tapi tindakan dia membunuh orang-orang awam dalam peperangan dan penyeksaannya adalah tidak boleh diterima. tambahana pula hitler bukanlah seorang islam. memang ada saya terima banyak email yang cuba nak kaitkan hitler dengan islam, tapi saya rasa itu tidak patut. Kalau anda kata dia bunuh yahudi kerana yahudi jahat, itu adalah tindakan yang tidak tepat langsung. Rasulullah pun tak pernah menzalimi orang yahudi. setiap tindakan rasulullah ke atas orang Yahudi adalah kerana orang yahudi yang menzalimi umat Islam kerana mengkhianati perjanjian dan lain-lain. Jadi tindakan hitler membunuh orang awam, termasuk yahudi adalah tidak boleh diterima sama sekali.
berkenaan “nama-nama” itu, saya pernah diberitahu oleh guru saya, Allah mengajarkan cara untuk hidup di dunia (termasuklah dengan mengajar kepadanya nama-nama setiap benda di dunia). Ia bukan hanya merujuk kepada nama-nama benda yang fizikal sahaja (termasuk kentut), tapi juga konsep-konsep keadilan dan lain-lain (sebab ayat quran tu bagi tahu “nama-nama KESELURUHANNYA”. Maka setelah Nabi Adam belajar mengenai apa itu keadilan dan segala-galanya, maka sebab selepas itu barulah baginda boleh hidup di dunia dengan selamat berdasarkan perintah Allah.
mengenai segala teori-teori konspirasi, memang saya mengaku saya banyak terpengaruh dengan kajian mereka. Sebenarnya saya tidak berniat untuk melibatkan diri dalam perbincangan mengenai konspirasi pun ketika saya mula menulis blog dulu (jika anda sempat baca posting-posting saya mengenai sistem-sistem kehidupan manusia), namun entah macam mana, saya terjatuh juga dalam kancah pengkajian mengenai konspirasi. segala pengkajian mengenai konspirasi itu cuma teori (boleh jadi betul boleh jadi salah), maka saya rasa saya telah melakukan satu kesilapan besar apabila menjadikan sesuatu yang tidak pasti sebagai sandaran kepada setiap pengkajian dan perbincangan.
jadi nasihat saya kepada mereka-mereka yang telah terkena pengaruh “kajian konspirasi” ini, saya nasihatkan anda semua kajilah terlebih dahulu semua teori-teori terbabit. Ini kerana, yang mula-mula mengkaji mengenai konspirasi ini pun adalah orang Kristian, salah seorangnya adalah William Guy Carr (kalau saya tak silap, pengarang buku Pawns In The Game). Jika ada orang Islam yang mengkaji mengenai dajjal pun, sebahagian daripada mereka pasti akan mengikuti rentak pengkajian William. Tapi saya tidak kata salah, cuma jika anda betul-betul kaji mengenai para pengkaji konspirasi di barat pun, anda akan dapati banyak unsur-unsur kristian (sebab diorang nak kata yang agama kristian tu agama betul) dalam pembongkaran mereka.
Berkenaan kedudukan sebenar keadaan manusia suatu ketika dahulu, apa yang saya
tunjukkan dalam persembahan multimedia tersebut ada rujukannya, begitu juga dengan orang yang tidak bersetuju dengannya, mereka pun ada hujah dan rujukan masing-masing. Jadi saya menghormati pandangan kedua-dua belah pihak yang mengkaji mengenai perkara ini. Saudara leokid, anda pun mempunyai hujah anda dalam hal ini, tapi saya rasa anda pun hanya baca daripada rujukan anda mengenai hujah-hujah tersebut, bukannya anda yang mengkaji (maafkan saya kalau saya salah). Saya suatu masa dahulu pun pernah berpegang pada pendapat yang mengatakan Nabi Adam bukan manusia pertama. Tapi disebabkan terlampau banyak hujah daripada pelbagai pihak, maka mulai sekarang saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak lagi.
Jika anda mempunyai bukti yang menunjukkan bahawa semua yang saya tulis itu satu pembohongan, saya minta maaf banyak-banyak, (saya memang dah tak nak tulis pasal konspirasi lagi dan bukan itu pun niat sebenar saya waktu first buat blog dulu). Dan jika anda mempunyai bukti yang dakwaan saya betul, maka sandarkan terus kepada rujukan anda.
Saya minta maaf jika saya telah menyusahkan anda semua. jika ada yang masih ingin meneruskan pengkajian mengenai teori-teori konspirasi, anda boleh rujuk terus kepada mereka yang bertanggungjawab. saya dah tutup blog saya dan menarik kembali semua kenyataan saya (apa lagi yang saya boleh buat).
selepas ini saya tidak ingin menjawab, membahas apa-apa lagi mengenai konspirasi dajjal. Kepada mereka-mereka yang menyokong saya, terima kasih saya ucapkan, tetapi janganlah anda anggap apa yang saya cakap semua betul sebelum anda sendiri mempunyai bukti. (saya lebih suka anda menganggap saya salah sebab saya tak nak anda menyandarkan semua hujah itu kepada saya lagi. Jika anda kata saya cuba berlepas tangan, well, secara kasarnya macam tu lah).
kepada admin blog ini (blog salafus-sholih), saya mohon maaf banyak2 kerana saya tidak mempertahankan anda. Saya nasihatkan anda, anda masih boleh memperjuangkan Islam dan menghapuskan kemungkaran tanpa mendalami teori konspirasi pun sebenarnya. Ini kerana segala propaganda mereka itu memang jelas2 bertentangan dengan Islam. Ini bermakna, jika anda memang mengamalkan Islam secara keseluruhan, anda akan terhindar secara automatik daripada segala konspirasi mereka walaupun anda tidak pernah mendengar teori kosnpirasi pun. Malah para pengkaji konspirasi tidak menyediakan penyelesaian pun kepada setiap teori mereka. mereka hanya mengkritik itu dan ini. Menyedari hal itu, saya bertindak melepaskan diri saya daripada pengkajian mereka. Saya sekarang sedang berada dalam group mereka-mereka yang sedang mengkaji mengenai konsep Islam secara menyeluruh. mereka telah menyedarkan saya
Nasihat saya, jika anda ingin post sesuatu, eloklah ia memang original anda punya, sebab anda yang akan bertangungjawab (walaupun anda sudah minta izin).
Kepada para pengkaji teori konspirasi, saya rasakan ada banyak kekurangan dalam tindakan anda. Ini kerana, saya lihat para pengkaji konspirasi cuba bongkar imej “topeng” para pemimpin yang kononnya dianggap sebagai musuh dalam selimut. Nampak macam baik, tapi jika kita lihat sejarah, Nabi Muhamad tak pernah bongkar pun nama-nama orang munafiq kepada seluruh kaum muslimin, walaupun baginda mengetahuinya. Malah penjaga rahsia Nabi, Huzaifah pun tidak mendedahkan siapa musuh dalam selimut umat Islam walaupun telah didesak berkali-kali oleh saidina Umar. Jika ada pemimpin yang kita rasakan munafiq pun, eloklah kita tegur dia.
Sumber : http://mahal82.wordpress.com/2009/02/22/58/
Jadi berdasarkan teguran yang saya terima dan saya dapat menerimanya, saya lebih suka bersangka baik dengan setiap pemimpin Islam (kecuali jika dia sudah secara jelas menunjukkan perhubungan mereka dengan kafir harbi).
Saya memang menyesal bercerita mengenai teori-teori konspirasi dajjal dan telah pun menutup blog saya. Malah ramai yang minta copy artikel saya mengenai konspirasi melalui emel tapi saya tak bagi. Bayaran yang mahal yang terpaksa saya bayar di atas kesilapan saya ialah, saya terpaksa tutup blog saya.
kesimpulannya, jika anda jumpa saya suatu hari nanti, ataupun blog saya, saya tidak akan lagi bercerita mengenai konspirasi2 dajjal, tetapi saya akan bercerita mengenai penyelesaiannya. Maka sama ada konspirasi itu betul-betul wujud atau tidak, ia tidak penting kerana jika anda mengamalkan Islam, musuh-musuh pasti dapat dikalahkan kerana Allah sudah berjanji bahawa tipu daya mereka adalah lemah. Tipu daya mereka hanya menjadi kuat kerana kita jauh daripada Islam. Misalnya mindcontrol dalam media-media. Jika anda mengamalkan Islam, pasti anda akan selamat daripada menonton filem-filem mereka, kerana dalam filem mereka, perempuan-perempuan semua tak pakai tudung, bagaimana umat Islam boleh menonton filem yang menunjukkan wanita tidak menutup aurat?
Saya memang sentiasa ingin mengalahkan musuh Islam, tetapi saya ada pendekatan baru (ada orang tunjukkan saya satu jalan baru). Maka bagi saya, pendekatan mengkaji konspirasi dajjal itu adalah tidak berapa berkesan, tambahan pula para pengkaji konspirasi tidak menyediakan penyelesaian pun. tahu kritik je.
Kesimpulannya, bagi pandangan saya sendiri selaku pembuat tayangan ini, tayangan ini tidak membantu langsung dalam usaha amar makruf nahi mungkar (kecuali sedikit).
Minta maaf banyak-banyak semua. Komen saya pun tak tersusun sebab sibuk skrg.
yang ikhlas – brofat (bunyi macam wasiat sebelum mati je XD)
Komen ini dipetik dari http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/10/dunia-akhir-zaman.html
Terima kasih kepada akhi brofat di atas pesanan dan luahan tersebut. Sungguh, saya terkelu seketika, kerana dari seorang yang begitu giat berkecimpung dalam bidang teori konspirasi, beliau sanggup meninggalkan semua itu empty-handed untuk mendalami Islam secara menyeluruh.
Saya doakan semoga Allah sentiasa membimbing akhi brofat ke arah kecemerlangan, dan semoga semangat brofat dalam berdakwah tidak luntur sebaliknya terus marak dengan dakwah yang berkesan berdasarkan alQuran dan Sunnah!
Semoga lebih ramai pendokong teori konspirasi menyedari akan hakikat ini. Ayuh, sama-sama kita gerakkan masyarakat dan remaja terutamanya, untuk kembali menghayati Islam as it is. Kita tolak segala unsur-unsur asing daripada mempengaruhi minda kita, pemikiran kita. InshaAllah, dengan cara itu, Islam akan kembali on the right track, dan tiada apa lagi yang perlu kita gentar – illuminati, freemason, dajjal dsb!
(Reply saya kepada akhi brofat, turut saya sertakan di ruangan komen)
No comments:
Post a Comment